Entah di mana silapnya, biarpun berpenampilan menarik,
berwajah ayu dan mempunyai kerjaya stabil hingga kini, Saleha belum mempunyai
teman lelaki.Bukan dirinya tidak pernah berusaha, malah ibu bapanya juga puas
berikhtiar, namun jodohnya ‘liat’. Tidak cukup dengan itu, rakan serta ahli
keluarga lain turut sama mencarikan jodoh buatnya, namun masih belum berjaya.
Siapa tidak risau, memasuki usia lewat 20-an, Saleha masih
belum berteman, sedangkan rakannya sudah beranak pinak. Puas berikhtiar,
akhirnya Saleha menemui pakar dermatologi sebagai langkah terakhir selepas
usahanya menggunakan kaedah tradisional tidak berhasil.Hasil rundingan itu,
baru Saleha tahu mengenai masalah sebenar dirinya. Saleha mempunyai masalah bau
badan yang melampau hingga menyebabkan orang ramai sukar mendekatinya.Kini, dia
mula percaya apa diperkatakan rakannya selama ini. Saleha mempunyai bau badan
yang kurang menyenangkan, menyebabkan pergaulan sosialnya terbatas.
Sejak itu, Saleha sedaya upaya berusaha mengurangkan bau
badan. Selain manfaat untuk dirinya, dia mahu mencari jodoh dan segera
berkahwin. Hakikatnya, bau badan boleh dialami oleh semua individu.Perunding
Dermatologi Pusat Perubatan Prince Court, Dr Guru Ratnavelu berkata, bau badan
berpunca daripada bahan buangan terkumpul dalam badan akibat proses pencernaan
yang tidak sempurna.
Dalam pengambilan pelbagai jenis makanan, majoritinya digunakan
untuk tubuh manakala selebihnya ditukar ke dalam bentuk sisa buangan atau
toksin. Toksin ini mudah disingkirkan jika ginjal, hati dan saluran penghadaman
usus berfungsi dengan baik.“Bau badan dicipta oleh hormon yang dipanggil
pheromones tetapi jika dibiarkan, hormon semula jadi ini akan mengeluarkan bau
lebih kuat apabila kelenjar peluh atau apocrine mula dijangkiti bakteria.
“Selalunya masalah ini dialami mereka yang menjangkau usia
akil baligh atau peringkat remaja kerana mengalami perubahan hormon dan
menjalani gaya hidup sihat,” katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu di
Kuala Lumpur, baru- baru ini.Dalam kalangan kanak- kanak, bau badan kerap
dikaitkan sebagai penanda tahap kematangannya. Misalnya, remaja perempuan mula
mengalami masalah badan berbau pada usia 14 hingga 16 tahun, manakala remaja
lelaki dari 15 hingga 17 tahun.
Bagi yang obes atau terlalu gemuk pula, kerap mengambil
makanan pedas dan memakan ubat khusus (seperti pesakit diabetes), mereka lebih
berisiko berdepan masalah bau badan.Bau badan juga dipengaruhi oleh diet, mood,
tahap hormon, jantina, tahap kesihatan, ubat-ubatan yang diambil dan bagi
sesetengah orang, genetik juga memainkan peranan.Menurutnya, setiap individu
ada bau badan yang terhasil daripada peluh. Peluh adalah sebahagian daripada
proses semula jadi dalam tubuh badan manusia.
Selain itu faktor genetik, penyakit kencing manis, tiroid,
masalah ginjal dan hati juga antara penyumbang kepada bau badan.“Dalam tubuh
badan manusia ada dua jenis kelenjar yang menghasilkan peluh iaitu kelenjar
eccrine dan apocrine. Kelenjar eccrine bertanggung jawab terhadap proses
berpeluh, yang mana ia bersambung terus hingga permukaan kulit untuk
menghasilkan peluh serta bertujuan mengawal suhu badan, selain membuang bahan
buangan seperti urea, sodium, kalsium atau elektrolit.“Manakala kelenjar
apocrine pula merembeskan cecair yang lebih likat dan keruh serta menimbulkan
masalah jika kuantitinya lebih banyak daripada kelenjar eccrine.
“Kelenjar ini berada pada bahagian tubuh yang banyak folikel
rambut seperti ketiak dan tempat sulit. Ia mengandungi sebum bahan berlemak
iaitu peluh dirembeskan. Sebum pula bahan organik yang tersimpan dalam kelenjar
apocrine,” katanya.Menurutnya, faktor pemakanan juga antara yang menyumbang ke
arah bau badan. Antaranya rempah ratus dan bawang putih, selain banyak minum
kopi atau minuman berkafein yang berpotensi menyebabkan bau pada ketiak, sama
ada lelaki atau perempuan.“Bagi mengelak perkara ini berlarutan, paling penting
jaga kebersihan dan makan. Mandi dua kali sehari antara perkara mudah yang
biasa dilakukan. Elakkan juga mengambil makanan mengandungi rempah ratus
terlalu kuat.
“Selain itu, cukur rerambut halus yang tumbuh seperti di
bahagian kemaluan serta ketiak apabila tiba waktunya. Pemakaian deodoran
mengandungi bahan antiseptik juga antara yang banyak membantu meskipun bukan
jaminan 100 peratus,” katanya.Tambahnya, masalah bau badan juga mungkin
dianggap ringan bagi sesetengah individu yang kurang peka. Hakikatnya, masalah
ini mampu menjadi besar jika tidak dibendung segera.
“Tidak kira sama ada lelaki atau wanita, kebersihan aspek
terpenting yang perlu dititikberatkan. Jangan ambil mudah perkara ini kerana
apabila berlarutan, ia mampu menyebabkan hilang keyakinan diri dan malu, selain
membataskan kegiatan sosial.
“Paling ditakuti, bau badan juga mampu memberi impak
terhadap kehidupan peribadi. Misalnya, sukar mencari jodoh atau bagi pasangan
berkahwin, ia mampu menjejaskan hubungan suami isteri,” katanya yang menasihati
orang ramai supaya memberi perhatian terhadap kebersihan diri.
- HARIAN METRO
No comments:
Post a Comment