Like Kami@FB

Friday 14 February 2014

Penyusuan susu ibu membakar lebih daripada 600 kalori sehari!

Penyusuan susu ibu membakar lebih daripada 600 kalori sehari!


Menurunkan berat badan yang bertambah akibat kehamilan merupakan antara agenda utama yang mahu dilaksanakan oleh para ibu yang baru melahirkan bayi. Ada segelintirnya gusar dengan keupayaan diri mengurangkan berat badan sepanjang tempoh penyusuan susu ibu berlangsung. Alasannya, mereka mahu terus menyusukan bayi namun tidak mahu sebarang masalah timbul akibat terlalu obses dengan keinginan mengecilkan pertambahan saiz pada bahagian-bahagian tubuh tertentu.

Atasi dilema anda dengan fakta ini. Dengan pembakaran lebih daripada 600 kalori sewaktu menyusukan bayi, anda seolah-olah melakukan aerobik selama 2 jam setiap hari. Malah, kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Persatuan Pakar Pemakanan Amerika mendedahkan penyusuan susu ibu berupaya membakar lemak di sekitar pinggul dan punggung dengan berkesan.

Jadi, anda tidak perlu khuatir lagi. Matlamat anda dapat dipenuhi dengan menyusukan bayi secara eksklusif. Sewaktu hamil dahulu, anda menambah berat untuk menyimpan tenaga bagi menghasilkan susu ibu. Kini, sudah tiba masanya untuk anda menggunakan simpanan lemak itu dengan menyusukan bayi.

1. Jaga Corak Pemakanan
Pengurangan berat badan sepanjang tempoh menyusukan bayi adalah sesuatu yang pasti! Dalam memastikan kejayaan ini, anda hanya perlu mengekalkan diet yang sihat agar anda dan bayi memperoleh zat makanan yang diperlukan.
Cara terbaik ialah dengan ambil hanya sedikit kalori dengan mengurangkan amaun “tambahan” yang biasa diambil.
Apa yang dimaksudkan ialah gula tambahan dan lemak tepu yang biasanya terkandung di dalam makanan seperti manisan, masakan bergoreng, keju, susu penuh krim dan daging berlemak. Sebagai alternatif, gantikan jenis-jenis makanan ini dengan pilihan rendah lemak, bebas lemak, kurang manis dan tanpa gula tambahan.

2. Senaman
Ada pendapat menyatakan sesetengah jenis senaman boleh mengganggu penghasilan susu ibu. Merujuk kepada kenyataan Kumpulan Penyokong Penyusuan Susu Ibu Antarabangsa La Leche League, setakat ini tiada data kajian yang membuktikan pandangan berkenaan.
Faktanya, kajian yang pernah dilakukan oleh C.A Lovelady pada 1990 mendapati ramai wanita yang melakukan senaman secara tetap mampu meningkatkan pengeluaran susu ibu. Oleh yang demikian, anda sangat digalakkan untuk melakukan senaman secara rutin. Namun, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu terutamanya bagi anda yang melahirkan bayi secara caesarean. Dengan cara ini, anda dapat menyingkirkan lemak dan pada masa yang meningkatkan tahap metabolisme dan tenaga tubuh.

3. Diet
Pakar laktasi menyarankan anda untuk memulakan rutin berdiet hanya selepas 2 bulan menyusukan bayi. Ini bagi memastikan penghasilan susu sedia ada berada di tahap yang stabil. Selepas tempoh itu, anda boleh mengurangkan pengambilan kira-kira 100 kalori sehari. Usah khuatir, pengurangan ini tidak akan memberi kesan negatif kepada kesihatan anda dan bayi. Menurut kenyataan La Leche League, anda boleh mengurangkan kira-kira 0.7 kg seminggu sepanjang menyusukan bayi tanpa kesan merbahaya.
Untuk makluman, kekurangan zat makanan tidak akan menjejaskan kualiti dan amaun susu ibu tetapi ia memudaratkan tahap kesihatan diri anda. Walaupun begitu, anda tidak perlu melakukan diet melampau kerana ia langsung tidak memberi kebaikan kepada diri anda dan bayi juga.

4. Buat pertimbangan
Beringatlah! Anda perlu mengambil makanan antara 1500 hingga 1800 kalori sehari untuk mengekalkan kestabilan amaun susu. Jadi, diet melampau yang menjurus kepada pengurangan berat badan secara pantas berpotensi memudaratkan bayi. Ketahuilah, toksin dan racun perosak boleh hadir dalam tahap yang rendah menerusi susu ibu.
Lebih daripada itu, ia mungkin boleh dilepaskan ke dalam susu ibu. Jadi, diet melampau sememangnya boleh menyingkirkan lemak di tubuh anda tetapi dalam masa yang sama menghapuskan zat makanan berharga di dalam susu ibu.

5. Pandangan Pakar
Kebanyakan pakar perubatan menasihatkan agar anda tidak perlu bimbang tentang pengurangan berat badan sehingga usia bayi mencecah 6 bulan. Memandangkan penyusuan susu ibu membantu melenyapkan lemak yang ada. Oleh yang demikian, sentiasa dapatkan pandangan daripada mereka yang pakar sebelum memulakan apa jua jenis program pengurangan berat badan.

Sumber : http://pama.karangkraf.com/ekstra/bakar-kalori-dengan-penyusuan-susu-ibu-1.10959


Monday 10 February 2014

Double Master Celebration Master Azlin dan Master Puteri

Semalam 9/2/2014 bertempat di IOI Marriot Putrajaya saya suami dan anak-anak berkesempatan untuk pergi ke Double Master Celebration Master Azlin dan anaknya Master Puteri.Ya Allah teringinnya mendaki ke puncak Master kerana kali ini merupakan kali pertama kami ke Mascel,sebelum ini memang nak pergi tapi banyak betul halangan serta dugaan.Alhamdulillah semalam Allah swt izinkan kami untuk sampai ke IOI Marriot Putrajaya.Bukan senang untuk sampai ke tahap Master di mana ia adalah tahap tertinggi dalam Shaklee ..Insya Allah jika diizinkan Allah swt saya pun akan sampai ke tahap ini.Amin..:)

Hotel IOI Marriot Putrajaya

Sampai sahaja kat hotel 5 bintang ini dah terasa bahang auranya,hampir 90% lobby hotel dipenuhi oleh SID Shaklee sahaja.Khabar yang saya dapat pihak Shaklee akan memperuntukkan sebanyak RM 50,000 untuk setiap Master yang diraikan..bayangkan kalau saya berjaya jadi Master Hazlina Azmi sambutan Master Celebration akan lagi mahal dari nilai kenduri kahwin saya 2008 dulu..almaklumlah saya hanya orang kampung yang datang dari keluarga yang sederhana.Disebabkan itu juga ia menjadi PUSH FACTOR untuk saya berbisnes kerana banyak orang yang perlu saya bantu terutama mak ayah di kampung selain keluarga sendiri.Minggu depan ada lagi satu Mascel iaitu Master Farihah@Kak Eha,jika ada kelapangan teringin lagi sekali ke sana.Bukan senang nak ke hotel 5 bintang tanpa tujuan,ini dah lah PERCUMA,kami SID turut dijamukan dengan pelbagai hidangan makanan yang boleh tahan sedap selain hidangan minda serta jiwa.Memang sangat berbaloi-baloi walaupun puas makan buah langsat sebelum sampai ke IOI Marriot Putrajaya.


IOI Marriot Putrajaya yang tesergam indah


Tak sempat nak snap makanan lain...hanya sempat snap Dessert corner sahaja dari jauh

 Kedai Kopi Marriot yang comel...:)
Anak-anak diberikan wisel untuk memeriahkan lagi acara Mascel

 Cantikkan view dalam IOI MArriot Putrajaya
 Orang ramai berpusu-pusu masuk ke dalam dewan untuk meraikan Mascel

 Inilah salah satu PUSH FACTOR saya dalam bisnes Shaklee
 Meaningful speech by our PMC
Master Azlin dan Master Puteri yang diraikan.

Wednesday 5 February 2014

7 Magnet Murah Rezeki

Hari ini saya nak kongsikan sedikit ilmu yang saya perolehi dari laman web http://www.irfankhairi.com/ tentang rezeki dan 7 tips utama untuk murah rezeki dalam kehidupan.Semoga sedikit perkongsian ini akan memberikan 1001 faedah untuk kita semua.Insya Allah.....

#1- Mohon Keampunan Dari Allah SWT dan Bertaubat Dari Dosa

Sepertimana yang kita ketahui, memohon keampunan dari Allah SWT adalah sangat penting untuk mencari redha-Nya dalam usaha menggali rezeki kita. Ia umpama menjadi benih bagi pohon rezeki yang kita telah tanam dan usahakan. Sekiranya kita sentiasa memohon keampunan Allah SWT, maka makin suburlah benih rezeki yang akan tumbuh. Pohonlah keampunan dari Allah SWT atas segala dosa dan kesilapan kita. Tidak perlu bertangguh untuk bertaubat. Memang benar, pintu taubat sentiasa terbuka selagi Hari Kiamat belum menggegarkan dunia ini, namun begitu jangan sampai kita terlewat. Allah SWT pasti akan mengampunkan dosa Hamba-hamba-Nya yang bersungguh-sungguh. Mohonlah hanya kepada Allah secara “direct.”
#2 – Mohon Keampunan Sesama Manusia.
Satu lagi tugas utama kita, iaitu mohon keampunan sesama manusia. Allah SWT Maha Pengampun dan sedia memaafkan dosa-dosa hamba-Nya, namun dosa kita sesama manusia hanya manusia itu sendiri yang dapat mengampunkannya. Contoh dosa sesama manusia, mengumpat, mengutuk, hasad dengki, mencuri, merompak dan sebagainya. Rasulullah s.a.w menjelaskan mengumpat ini dalam sabda Baginda yang bermaksud :
“Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya. (Hadith Riwayat Muslim)
Dosa mengumpat membinasakan amal kebaikan ibarat api membakar kayu kering
Dari Jabir dan Abi Said, Rasulullah s.a.w bersabda: “Awaslah daripada mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras daripada zina. Sesungguhnya seseorang terkadang ia berzina dan bertaubat, maka diterima Allah swt akan taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampun dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpatnya itu.”
Maka, Hadith ini telah menjelaskan bahawa perbuatan mengumpat itu lebih berat dosanya daripada perbuatan zina. Dosa penzina hanya Allah SWT yang mengampunkannya, kerana dosa ini berkaitan manusia dengan Penciptanya, namun dosa mengumpat hanya dapat diampunkan oleh orang yang diumpat. – Huraian ini menunjukkan bahawa ia merupakan kunci kedua yang paling utama untuk menyuburkan lagi pohon rezeki yang telah kita tanam pada kunci #1.
#3 – Mohon Keampunan dan Doa Ibu Bapa
“Syurga Itu Dibawah Tapak Kaki Ibu!” Suatu masa seorang lelaki termenung memikirkan nasib hidupnya. Seringkali, ditimpa masalah. Selepas muhasabah diri, terdetik di hatinya, mungkin ada sedikit hati ibu dan bapanya pernah rasa terguris, dan mungkin beliau terlepas pandang atau tidak sengaja meninggikan suara. Hati orang tua memang agak sensitif, dan sangat memerlukan kesabaran dalam melayani karenah mereka. Kita seharusnya melayan sebaik-baiknya kerana bakti ibu yang melahirkan, membesarkan dan mendidik kita sehingga dewasa dan berjaya, amat tidak ternilai harganya. Mohonlah keampunan dari kedua-dua ibu bapa. Insya-Allah, rezeki akan dikurniakan bak bunga wangi yang mekar menguntum.
#4 – Solat Sunat Dhuha
Solat sunat Dhuha termasuk dalam kandungan Hadith Rasulullah s.a.w sebagai amalan yang digalakkan untuk diamalkan. Mengikut kajian, Solat Sunat Dhuha yang dilakukan pada awal pagi hari mempunyai rahsia dan khasiat tersendiri. Gelombang warna pada waktu Dhuha adalah dalam mod warna kuning, iaitu berkait rapat dengan rezeki dan kebolehan komunikasi seseorang. Individu yang sentiasa mengamalkan Solat sunat Dhuha akan lebih cenderung dan berkebolehan berkomunikasi dengan hebat dan mampu menjadi “magnet rezeki.” Rezeki akan lebih mudah mendekati mereka (dengan izin Allah).
#5 – Menjaga Amal Makruf, Solat 5 Waktu dan Banyakkan Berzikir
Seperti yang umum sedia maklum, zikir mampu mendekatkan lagi kita kepada Allah SWT. Zikir bermaksud mengingati Allah SWT. Tidak kira melalui perbuatan seperti melakukan solat dan amal soleh atau melalui perkataan seperti melafazkan zikrullah. Allah SWT amat menyayangi Hamba-Nya yang sentiasa mengingati-Nya. Allah SWT menjanjikan bantuan dan pertolongan buat para Hamba-Nya yang sentiasa menunaikan solat, bersabar dengan segala ujian-Nya dan yang sentiasa mengingati-Nya walaupun dalam keadaan susah mahu pun senang. Segala amalan juga haruslah kita jaga, yang baik kita perbanyakkan dan yang haram kita jauhkan.
#6 – Banyakkan Bersedekah
Percayalah bahawa semakin banyak kita bersedekah, semakin Allah menambahkan rezeki kita. Sedekah dan zakat mempunyai rahsia tersendiri di mana ia dapat menyuburkan dan membersihkan rezeki yang kita terima. Maka, jangan takut atau kedekut untuk bersedekah (mengikut kemampuan). Lagipun, belum pernah kita terdengar orang muflis sebab bersedekah. Pegang prinsip bersedekah umpama menabung untuk saham akhirat nanti. Pahala yang terhasil dari amalan sedekah semakin hari semakin subur dan berpanjangan tanpa henti. Bersedekahlah dengan tulus ikhlas tanpa mengungkit-ungkit dan jauhkan diri dari bersedekah untuk mendapat nama. Peganglah prinsip “tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima.”
#7 – Berdoa Bersungguh-sungguh Diwaktu Mustajab Berdoa
Doa adalah senjata orang mukmin. Setiap amalan dan usaha yang telah dilakukan haruslah diiringi dengan doa dan kemudiannya bertawakal kepada Allah SWT. Berdoalah kepada Allah agar memurahkan rezeki dan membukakan pintu rezeki kita seluas-luasnya. Terdapat masa dan ketika di mana ia dikatakan waktu yang amat mustajab untuk berdoa. Antaranya ialah:
  • Doa orang yang teraniaya
  • Doa selepas solat 5 waktu
  • Doa waktu antara 2 khutbah Jumaat
  • Doa waktu solat dhuha
  • Doa diwaktu berjemaah
  • Doa seorang ibu
  • Doa ketika sedang sujud
Gunakanlah sebaik-baiknya senjata orang Mukmin ini. Mudah-mudahan Allah SWT memakbulkan setiap doa kita supaya hidup lebih diberkati. Apabila hidup kita diberkati, maka mudahlah rezeki mengalir kepada kita. Insya-Allah