Like Kami@FB

Friday 22 August 2014

Raya Kami:Part 1(Subang Bestari)

Antara gambar-gambar raya yang saya nak kongsikan bersama para pembaca blog tersayang..gambar raya yang bahagian satu ini kami ambil di rumah kami di Subang Bestari..;)Mak budak,bapak budak pun dah jadi macam budak-budak dah..hihihi!!apa-apa pun sangat gembira bila melihat air muka anak-anak yang ketawa ceria sepanjang penggambaran raya family kecil kami ini.So let's the pictures do talking ok!!

 Suka sangat bergambar dengan anak-anak secara santai gini!!


 suwitttttnya anak-anak mama nih..:),melting kejap bila tengok gambar anak-anak sendiri..


 Our small little family..semoga ianya kekal ke Jannah..walaupun sudah banyak dugaan yang melanda kami,Alhamdulillah kami masih mampu bertahan dan kekal bahagia hingga hari ini.Bukan senang nak puaskan hati semua orangkan,buat baik salah,buat jahat pun salah.So better DIAM…silence is golden bak kata omputih!!!!



Nak romantic sikit pun tak boleh..asyik kena kacau jer dengan anak-anak..:)

Thursday 21 August 2014

10 Tips Mendidik dan Membesarkan Kanak-kanak yang Gembira (Berserta Bukti Saintifik)


Gambar Sekadar Hiasan..Our Small Family..;)

1. Selalu bergurau, buat lawak dan ketawa bersama
Hasil kajian dari Economic and Social Research Councils’ Festival of Social Science pada tahun 2011 mengatakan dengan bergurau bersama anak-anak dapat membantu mereka dalam hubungan sesama manusia. Apabila ibu-bapa bergurau bersama anak-anak, diselangi dengan ketawa mereka, rasa sungguh bahagia.
2. Sentiasa bersabar dan berfikiran positif
Ibu-bapa jangan sesekali meluahkan perasaan marah atau negatif pada anak-anak. Apabila mereka dilayan dengan kasar, minda mereka akan diracuni dengan perihal negatif. Tambahan lagi, jika mereka mengalami layanan kasar yang sama ketika berada di rumah pengasuh. Seawal umur 5 tahun, anak boleh jadi agresif. Ia akan tersimpan dan menjadi-jadi apabila dewasa.
3. Tanamkan sifat bersimpati pada orang lain
Tidak bermakna tidak bersimpati pada diri sendiri. Namun, terapkan rasa simpati atas kesusahan orang lain. Jika nampak ada orang minta sedekah, ajar anak erti kesusahan. Berikan mereka setidak-tidaknya RM1 untuk disedekahkan. Mungkin nilai material tidak besar, tetapi ia akan memberi kesan jangka panjang yang amat mendalam.
4. Biarkan anak berdikari
Bukan ibu-bapa tidak sayang. Setidak-tidaknya, kita lihat mereka berusaha dengan kudrat sendiri. Jika berjalan-jalan di luar, cuba biarkan anak beli makanan sendiri. Kita perhatikan dari jauh sahaja.
5. Elakkan bergaduh di hadapan anak
Ini penting. Jangan bergaduh, memaki-hamun dan mencaci pasangan di hadapan anak. Ia akan memberikan kesan psikologi yang cukup hebat. Anak akan rasa runsing, tidak tenteram dan emosi tidak stabil. Kalau nak gaduh, sila masuk dalam bilik tidur. Silap-silap boleh dapat anak lagi satu.
6. Jaga kesihatan, elakkan tekanan
‘Stress’ cukup sinonim pada zaman sekarang. Mungkin sebab kerja di pejabat, mungkin juga sebab kerja-kerja rumah. Ubat tahan sakit bagaikan makanan harian pula. Ibu-bapa kena faham, bila mereka tertekan, anak juga terasa tempiasnya. Ini kerana mereka akan rasa layanan yang berlainan.
7. Ayah lebihkan masa dengan anak perempuan, ibu lebihkan masa dengan anak lelaki
Ini bukan sekadar soal jantina semata-mata. Ia adalah lebih kepada kemesraan. Selalunya, apabila anak semakin membesar, mereka masih lagi inginkan pelukan dan ciuman dari ibu-bapa sendiri. Walaupun selalu anak lebih rapat dengan ibu, mereka juga mahukan layanan istimewa dari ayah. Ini baru seimbang.
8. Biarkan anak ‘melawan’
Bukan dalam erti kata ‘melawan’ dengan kurang ajar. Namun biarkan anak memertahankan pendapat mereka sendiri. Ada kalanya, anak-anak rasa dia betul, namun sebaliknya, mereka belum cukup matang. Sebagai ibu-bapa, biarkan anak meluahkan rasa hati dan hujah mereka. Dengar dan fahamkan. Bukan bermakna kita setuju, tetapi sekadar memberi peluang mereka berkata-kata.
9. Usah berharap kepada anak yang sempurna
Semua ibu-bapa mahu anak yang ‘perfect’ atau sempurna serba-serbi. Namun, tidak semestinya kita dianugerahkan anak yang sebegitu. Jika mereka tidak berapa bagus pencapaian disekolah, dekatilah anak dengan kasih sayang. Jangan marah-marah bagaikan tiada hari esok. Mungkin itu sahaja tahap yang mereka boleh pergi. Dengan kata yang lain, ibu-bapa kena cuba menerima hakikat yang anak mereka tidak seperti yang diharapkan. Terimalah mereka seadanya.
10. Fahami kehendak anak
Semua orang rasa mereka lebih tahu cara mendidik anak. Namun, tidak semua anak berperangai sama. Mungkin ada yang sesuai dengan anak sulung, tetapi tidak pada anak kedua. Oleh kerana itu, penuhi kehendak anak yang berlainan. Bukan bermakna manjakan mereka dengan apa yang mereka pinta, tetapi lebih kepada penghargaan. Penyelidik bernama Liliana Lengua dari University of Washington mengatakan ibu-bapa perlu menyokong kehendak anak berdasarkan permintaaan mereka. Kalau anak mahukan basikal, tentu dia akan berkata “Seronoknya tengok Amir (nama samaran) tu main basikal kan ayah. Macam best je”. Ia tidak secara terus, tetapi lebih kepada satu ‘signal’. Ibu-bapa kena cepat tangkap maksud tersirat sebegini.

9 Tips Untuk Bakal Ayah

Sebagai seorang suami yang bakal bergelar ayah, anda mungkin belum bersedia sepenuhnya untuk menanti ketibaan si kecil yang tersayang. Pelbagai persediaan perlu dilakukan dari jasmani dan juga kerohanian.

Berikut merupakan antara tips-tips yang mungkin dapat membantu mengurangkan kegelisahan dalam  menantikan ketibaan ahli baru dalam keluarga anda.

1. Pastikan Anda Tidak Ketinggalan.

Pastikan anda sentiasa menyertai secara aktif bersama isteri tersayang dalam pemeriksaan pra-natal untuk memastikan anda sentiasa kemaskini dengan kemajuan kehamilan dan tumbesaran anak yang dikandung. Sekaligus hal ini dalam lagi merapatkan lagi hubungan anda dengan isteri tersayang.

2. Melayani Kehendak Bakal Ibu.

Setiap pengalaman hamil isteri adalah tidak sama, anda perlu menjadi seorang suami yang sensitif terhadap pengalaman dan perasaaan isteri. Isteri anda mungkin menghadapi kesukaran dalam menyesuaikan diri dengan dirinya yang “baru” jadi sentiasa memberi sokongan kepada isteri dan bersama-sama dalam menyesuaikan diri. Sentiasa bertanya dan berbincang dengan isteri mengenai bagaimana anda boleh membantunya sepanjang proses kehamilan.

3. Sediakan Rumah Yang Selesa.

Seperti kebiasaaan bakal ayah boleh menunjukkan penglibatannya dengan menyediakan barang-barang untuk ketibaan si kecil. Pelbagai barang yang perlu disediakan untuk menyambut ketibaan si kecil seperti pakaian untuk si ibu dan si kecil, botol susu, kereta sorong bayi dan pelbagai lagi.
Ambil kesempatan untuk membeli-belah bersama pasangan anda bagi mengeratkan lagi hubungan suami isteri dan untuk mengambil kira pandangan isteri untuk membeli barang.

4. Bincangkan Kebimbangan Anda.

Anda sebagai suami dan bakal ayah juga perlukan sokongan. Berbincang dengan pasangan mengenai kebimbangan anda dan dapatkan sokongan dari isteri tercinta. Anda juga boleh minta pendapat dan nasihat dari bapa lain yang berpengalaman. Jangan takut atau malu untuk bertanya jika anda mempunyai sebarang keraguan.

5. Jagalah Kesihatan Anda.

Pelbagai cabaran baru yang menanti anda:proses kehamilan, kelahiran bayi anda, kepulangan ibu dan bayi, dan penjagaan selepas bersalin untuk isteri tercinta. Peranan anda sebagai ketua keluarga untuk memastikan keselamatan dan pembesaran anak anda, jadi kekal sihat demi kepentingan semua itu.
Mulai hari ini, mulakan dengan gaya hidup sihat: makan secara sihat dan bersenam selalu dan berehat dengan secukupnya.

6. Menyokong Antara Satu Sama Lain.

Setiap pasangan perlu sentiasa menyokong antara satu sama lain, dan tugas keibubapaan bukan hanya terletak pada salah seorang pasangan tetapi tanggungjawab bersama. Cuba untuk sentiasa membantu isteri anda sebanyak yang mungkin dan yang paling penting sentiasa membincangkan harapan anda dengan satu sama lain.

7. Luangkan Masa Untuk Bincang Tentang Hal Kewangan.

Bagi menyelesaikan masalah kewangan di kemudian hari, anda perlu luangkan masa bersama isteri untuk sama-sama bincangkan hal kewangan  dan runding mengenai rancangan untuk masa depan. Sebaiknya bincangkan hal ini sebelum ketibaan si kecil anda bagi mengelakkan timbul konflik dan masalah kelak.

8. Menghabiskan Masa Berkualiti Bersama-sama.

Salah satu cara untuk rapatkan hubungan anda dengan pasangan ialah ketika hamil. Gunakan kesempatan yang ada untuk sentiasa bersama isteri dan memberi sepenuh perhatian terhadap isteri. Segala kesulitan dan kegelisahan bincanglah bersama-sama dan yang paling penting sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain.

9. Berdoa dan dekatkan diri dengan Ilahi.

Kita hamba ALLAh S.W.T hanya mampu merancang dan DIA yang menentukan. Perbanyakkan minta pertolongan dari Ilahi dan mengadu segala masalah kepada-NYA. InshaAllah segala masalah dan kerisauan dalam diselesaikan.
Sebelum anak dilahirkan, seorang ayah juga digalakkan untuk menimba cara mendidik anak dengan betul sebaik mungkin melalui pembacaan, seminar dan sebagainya. Panduan Mendidik Anak ini juga mungkin berguna untuk ibu bapa baru. Bersedia awal-awal, jangan tersilap mendidik anak.
Perkara terakhir yang perlu diingati ialah sambut kelahiran anak anda dengan harapan yang positif kerana anda bakal memulakan pengalaman yang paling menarik dan bermakna dalam hidup anda dan bergelar seorang ayah.
Sumber: Majalah Positive Parenting