Dapatkan maklumat yang betul mengenai penyusuan susu ibu
supaya anda dapat menentukan apakah yang terbaik untuk anda dan bayi.
Oleh Prof Madya Dr Poh Bee
Koon, Pakar Pemakanan
Penyusuan susu ibu merupakan topik hangat dan kebaikannya
sering ditekankan di media. Namun begitu, mitos yang berleluasa mengenai
penyusuan susu ibu. Salah tanggapan mengenai penyusuan susu ibu adalah
berbahaya kerana ia mendorong anda membuat keputusan yang kurang wajar. Artikel
ini memberi penjelasan yang sebenarnya kepada anda:
“Ramai wanita tidak menyusukan bayi dengan susu ibu
dan anak mereka masih membesar dengan sihat!”
Ya, jika dilihat dari luaran sahaja…tetapi bayi yang tidak
menyusu susu ibu sebenarnya lebih terdedah kepada penyakit dan alergi seperti
ekzema, rinitis alergik dan asma. Sesetengah kajian menunjukkan bayi yang tidak
diberikan susu ibu lebih berisiko untuk mendapat diabetes dan obesiti apabila
membesar kelak.
“Payudara saya kecil. Rasanya mungkin tidak
dapat menghasilkan susu yang mencukupi”
Saiz payudara ditentukan oleh tisu lemak, yang tidak
berkaitan dengan penghasilan susu. Penghasilan susu bergantung kepada saiz
kelenjar mamari di dalam payudara. Kelenjar mamari adalah serupa tanpa mengira
saiz payudara anda.
“Tidak! Penyusuan susu ibu akan menyebabkan
payudara saya kendur!”
Penyusuan susu ibu tidak menyebabkan payudara menjadi
kendur;ianya disebabkan oleh faktor usia dan graviti. Malah, penyusuan susu ibu
membantu anda untuk kembali kepada bentuk badan asal lebih cepat dengan
membakar lemak yang tersimpan semasa hamil. Ia juga mengeluarkan hormon yang
membantu mengecut dan mengembalikan rahim kepada saiz yang asal.
“Tidakkah penyusuan susu ibu menyakitkan?”
Tidak. Meskipun ada sebilangan ibu yang mungkin rasa sedikit
bengkak pada peringkat awal, tetapi keadaan ini tidak berlanjutan. Jika anda
masih rasa sakit, ini mungkin disebabkan mulut bayi tidak menghisap puting dan
areola dengan betul. Belajarlah untuk membantu bayi menyusu dengan cara yang
betul.
“Penyusuan
susu ibu menyusahkan!”
Penyusuan susu ibu sebenarnya memudahkan anda. Anda tidak
perlu membawa peralatan, tidak perlu risau tentang bekalan susu, penyimpanan
dan penyediaan susu. Tambahan pula, penyusuan susu ibu boleh dilakukan
bila-bila masa, di mana-mana sahaja dan ia juga tidak melibatkan sebarang kos.
“Kenapa nak bersusah payah? Tambahan pula, saya
akan kembali bekerja.”
Penyusuan ibu, walaupun beberapa minggu atau bulan, akan
beri manfaat kepada bayi. Mula bekerja tidak bermaksud anda perlu menghentikan
penyusuan susu ibu. Penjaga bayi boleh memberi susu ibu yang sudah diperah pada
siang hari dan anda boleh menyusukannya sendiri pada waktu malam.
No comments:
Post a Comment