Entah
kenapa tetiba nak bercakap pasal doa..ya doa senjata umat islam..dengan doa kita
masih di sini dengan rahmat dan kebaikan yang Allah swt berikan kepada kita.Tahukah
kita betapa POWERNYA doa yang kita mohon setiap hari kepada Allah swt?Tetapi pasti
kita tidak lari dari rasa terkilan bila kita rasa doa kita tidak dimakbulkan
oleh Allah swt dengan cepatkan…cepat atau lambatnya termakbul sesuatu doa itu
bukanlah kerja kita.kerja kita hanya teruskan berdoa dengan penuh
khusyuk,rendah hati dan jatuhkan segala nekad,bulatkan sepenuh hati kepada sang
pencipta kita iaitu Allah swt.Insya Allah semua hajat kita akan dimakbulkan
oleh Allah swt
Soalan:
Saya mudah kecewa. Apabila saya doa, saya rasa doa saya Allah tidak akan
terima. Saya dah minta doa macam-macam, tapi banyak benda yang minta itu tak
berlaku seperti yang diminta. Kadang-kadang sehingga saya rasa macam tidak
larat hendak berdoa. Tolonglah saya Dr!
Jawapan
Dr MAZA:
Saudari,
semoga Allah merahmati kita semua. Untuk menjawab kemusykilan saudari itu, saya
nyatakan seperti berikut:
1.
Doa adalah permohonan kepada Allah. Allah ialah Tuhan Yang Maha Agung dan Maha
Mencipta. Apabila seseorang berdoa kepadaNya, hendaklah ia dilakukan dengan
penuh perasaan merendah diri, kekusyukan jiwa, harapan dan pergantungan yang
mutlak diserahkan kepadaNya.Ramai orang berdoa, tetapi tidak ramai pula yang
jiwanya ketika berdoa itu jiwa merendah, penuh tunduk dan khusyuk kepada Allah.
Kebanyakan doa diungkapkan dengan jiwa yang hambar sedangkan Allah
memerintahkan: (maksudnya)“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan
(dengan suara) yang perlahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang
yang melampaui batas”. (Surah al-‘Araf, 55).Jika kita dapat menjadikan jiwa
kita ini begitu beradab, merendah, khusyuk dan penuh pengharapan kepada Allah,
kita menghampiri pintu kemakbulan.
2.
Bersangka buruk kepada Allah seperti menganggap Allah tidak akan terima doa
adalah perasaan yang salah dan perlu dibaiki. Bagaimana mungkin Allah menolak
doa, sedangkan Dia yang memerintahkan kita berdoa kepadaNya. Firman Allah:
(maksudnya):
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada
mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir. Aku perkenankan permohonan
orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut
seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu
supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah, 186).FirmanNya juga:
(maksudnya)“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku
perkenankan doa permohonan kamu”. (Surah Ghafir, 60).Doa yang dilakukan dengan
penuh penghayatan pasti diterima Allah. Itulah jaminan Allah sendiri.
3.
Maka seseorang hamba yang berdoa hendaklah dia penuh dengan keyakinan bahawa
Allah akan memakbulkan doanya. Hanya jiwa yang tidak khusyuk ketika berdoa
sahaja yang ragu-ragu terhadap penerimaan Allah. Sabda Nabi s.a.w:
“Berdoalah
kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah
sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa”
(Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
4.
Namun, waktu dan ketika yang dipilih oleh Allah untuk sesuatu doa itu
diperkenankan, hanya dalam ilmu Allah. Kadang-kala dilewatkan atas hikmah yang
Dia Maha Mengetahui, dan insan yang berdoa juga biasanya akan tersingkap hikmah
tersebut apabila tiba masanya. Sehingga apabila tiba waktu doa itu ditunaikan
Allah, baru kita akan merasa betapa beruntungnya kemustajaban itu hadir pada
waktu tersebut. Maka jangan putus asa dalam berdoa. Sabda Nabi s.a.w :«
Sentiasa doa dimustajabkan untuk seorang hamba Allah selagi mana dia tidak
berdoa untuk membuat sesuatu dosa, atau memutuskan silaturrahim, selagi dia
tidak tergopah-gapah ». Ditanya baginda : « Apa itu tergopoh-gapah ? ». Sabda
baginda : «Apabila dia berkata : aku telah pun berdoa ! aku telah pun berdoa !,
tetapi aku tidak nampak pun dimustajabkan untukku, lalu dia berhenti ketika itu
dan meninggalkan doa » (Riwayat Muslim).
5.
Cara bagaimana Allah memustajabkan sesuatu pengharapan atau doa hamba itu juga
berbeza-beza. Mungkin tidak seperti jalan yang disangka hamba yang berdoa itu,
tetapi Allah sesuatu yang lain yang lebih baik untuknya. Umpamanya, mungkin
seorang hamba meminta kekayaan yang besar atas andaian dengan kekayaan itu maka
dia akan bahagia.Namun Allah mengetahui tentang hal hamba tersebut yang mana
kekayaan besar boleh memudaratkan iman atau persekitarannya yang lain. Allah
mungkin menggantikan kekayaan yang besar itu dengan rezeki yang mencukupi,
kesihatan yang baik, anak-anak yang soleh dan keluarga yang bahagia. Kesemua
itu membawanya mencapai ketenangan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.
Maka
insan hendaklah jangan cepat menyatakan doanya tidak diterima, sebaliknya
hendaklah dia sentiasa menyemak dan menilai segala kurnia Allah yang ada di
sekelilingnya. Kemustajaban doa itu berlaku dalam berbagai bentuk. Sehingga ada
yang Allah tangguhkan apa yang diminta itu ke hari akhirat, kerana Allah
mengetahui bahawa di saat itu insan tersebut lebih memerlukan apa yang diminta
tersebut. Sabda Nabi s.a.w :« “Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu
doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan
memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: samada disegerakan
kemakbulan, atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan
keburukan yang sepadan dengannya”. (Riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Ya’la
dengan sanad yang sahih).
6.
Doa tidak sia-sia. Doa adalah lambang pengabdian diri seorang hamba Allah
kepada Allah Yang Maha Agung. Sebab itulah berdoa kepada selain Allah,
sekalipun memohon kemustajaban dari nabi atau wali adalah dianggap sebagai
syrik. Sementara berdoa kepada Allah adalah ibadah. Ertinya, jika seorang hamba
itu berdoa selama sejam, dia sebenarnya sedang beribadah selama sejam.
7.
Kehidupan ini mempunyai rahsianya yang tersendiri. Banyak perkara yang kita
rasa pahit dan membencinya pada masa tertentu padahal ia manis pada masa yang
lain. Banyak perkara yang kita rasa baik, ia buruk apabila berubah masa dan
keadaan. Allah Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi, apa yang sedang dan
telah terjadi. Kita selalu tergopah-gapah menilai sesuatu keadaan. Sehingga
kadang-kala kita berdoa hendak sesuatu, sedang Allah mengetahui ia tidak baik
untuk kita. Allah menggantikan dengan perkara lain, kita mungkin tidak perasan
atau sedar.Seseorang mungkin merasakan doa yang dikehendaki belum Allah
mustajabkan, tetapi dia terlupa apa yang sedang dinikmatinya itu sudah mencapai
harapannya. Maka, janganlah cepat kita berputus asa dengan rahmat Allah dan
terus menghukum bahawa doa kita belum dimustajabkan.
8.
Dukacita dan keperitan hidup menghapuskan dosa dan menaikkan darjat seseorang
di sisi Allah. Ia juga membawa insan membanyakkan doa. Dalam detik menunggu
kemustajaban doa, ramai yang kembali menjadi soleh, tunduk, tawaduk dan
membanyakkan ibadah. Penangguhan doa mempunyai berbagai hikmah dalam kehidupan
muslim. Dunia ini amat kerdil dan tidak dibandingkan dengan akhirat. Doa
merupakan amalan yang membawa kebahagian insan di akhirat. Menanti kemustajaban
doa dengan iman dan penuh tawakal merupakan tempoh yang menyebabkan banyak
insan kembali menemui jalan Allah yang hakiki.
9.
Marilah kita teruskan doa, baiki diri dan nilailah apa yang telah berikan
kepada kita dalam kehidupan hari ini. Keperitan hari ini, mungkin kemanisan
hari esok. Kemanisan hari ini, belum tentu kenikmatan hari esok. Maka, sentiasa
bertawakal kepada Allah dan jangan putus asa berdoa kepada Nya
semoga doa kita diterima Allah..inshaAllah..
ReplyDeleteInsya Allah..semoga setiap doa kita dimakbulkan oleh Allah swt
DeleteAmin..terima ksih dtg jenguk blog saya
Allah Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani... Berdoalah
ReplyDeletep/s: kita dah datang jenguk awak :)
Terima kasih banyak2 dtg jenguk blog saya ye..:)
DeleteNice sharing..keep doa n doa n doa...jgn putus doa :) tnx visit blog i :D
ReplyDeletehttp://sonnenscheinfurlinda.blogspot.com/
sama2 dear...trskan berdoa dan berdoa
Delete